Thursday, September 26, 2013

Pin It

Widgets

Tujuh artis Hollywood yang berpelajaran tinggi

DALAM lambakan pelakon popular Hollywood, ternyata ada beberapa antaranya yang berpelajaran tinggi dan mempunyai kelulusan yang boleh digunakan untuk mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang dimiliki.

Ironinya, mereka lebih berminat berkecimpung dalam dunia lakonan dan kini sudah terkenal di seluruh dunia. Berikut merupakan senarai pelakon yang boleh dijadikan sebagai idola berikutan kejayaan mereka dalam pelajaran.
 1.Rowan Atkinson

Selama ini penonton sudah melihat aksinya sebagai seorang lelaki 'bodoh' dalam sitkom yang cukup digemari ramai iaitu Mr. Bean. Namun begitu, di sebalik kebodohan yang ditampilkannya itu, mungkin ramai yang tidak tahu tentang tahap pendidikan yang dimiliki Rowan Atkinson.

Dilahirkan di Durham, England, Rowan Sebastian Atkinson mendapat pendidikan awal di Chorister School dan St. Bees School, Durham. Kemudian dia menyambung pengajiannya di Universiti Newcastle dalam bidang Kejuruteraan Elektrik.

Selepas tamat pengajian, pelawak tersebut menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang sama di Universiti Oxford. Semasa di universiti berkenaan, Rowan turut aktif dalam pementasan teater bersama The Experimental Theatre Club.
 2. Lucy Liu

Nama pelakon Lucy Alexis Liu mula dikenali ramai setelah membintangi filem Charlie's Angels bersama-sama Drew Barrymore dan Cameron Diaz pada tahun 2002. Ironinya, karier lakonan Lucy sudah bermula lapan tahun sebelum itu.

Sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, Lucy pernah menuntut di Universiti New York selama setahun dan kemudian berpindah ke Universiti Michigan dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Dan Kebudayaan Asia.

Sepanjang pengajiannya di universiti berkenaan, pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu aktif dalam bidang seni dan pernah menyertai pementasan teater Alice In Wonderland semasa berada di tahun akhir.

Selain mempunyai kelulusan yang tinggi, Liu juga berkebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Mandarin, Sepanyol, Itali, Jepun dan Perancis.
 3. Arnold Schwarzenegger

Bermula sebagai ahli bina badan, lalu berkecimpung dalam dunia lakonan dan akhirnya terpilih sebagai Gabenor California, Arnold Schwarzenegger cukup popular dengan lakonannya dalam filem The Terminator.

Dilahirkan di Styria, Austria pada 30 Julai 1947, dia kemudiannya berhijrah ke Amerika Syarikat, meskipun tidak fasih berbahasa Inggeris, dia akhirnya berjaya menjadi ahli bina badan berjaya dan pernah bergelar Mr. Olympia sebanyak tujuh kali.

Kemudian pada tahun 1977, Arnold mengambil kelas Bahasa Inggeris di Kolej Santa Monica dan menyambung pelajarannya di Universiti Wisconsin. Dia berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Dan Ekonomi Antarabangsa.
 4. Hugh Jackman

Sebelum popular sebagai pelakon, Hugh Jackman menuntut di Universiti Teknologi Sydney dan mengambil Ijazah Sarjana Muda Komunikasi. Menariknya, cita-cita awalnya dahulu adalah mahu menjadi seorang wartawan.

Pada tahun terakhirnya di universiti tersebut, hasratnya tiba-tiba berubah dan mahu bergelar seorang pelakon. Setelah tamat pengajian, dia lantas mengikuti kursus lakonan selama setahun di Actors' Centre di Sydney.

Selepas itu, dia meneruskan usahanya untuk bergelar pelakon dengan menuntut di Western Australian Academy Of Performing Arts (WAAPA) pada 1994 dan banyak diberi peluang berlakon sepanjang berada di akademi tersebut.
 5. Natalie Portman

Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dimiliki oleh pelakon Natalie Portman, pastinya ia sesuatu yang cukup mengagumkan.

Selain cantik dan berbakat besar, bintang filem Black Swan itu boleh dikategorikan sebagai antara pelakon yang bijak dan sering mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Ketika menuntut di Sekolah Tinggi Syosset, Long Island, Amerika Syarikat, Natalie berhasil mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 sehingga melayakkannya menyambung pelajaran dalam jurusan Psikologi di Universiti Harvard.

Setelah menamatkan pengajian pelakon berkenaan meneruskan karier lakonannya, tetapi pernah dipilih menjadi pensyarah jemputan di Universiti Columbia. Selain itu, sejak kecil lagi dia sudah menguasai beberapa bahasa asing seperti Hebrew, Perancis, Jerman, Arab dan Jepun.
 6. Hugh Grant

Selama ini peminat lebih mengenali wajah tampan pelakon Hugh Grant serta sikap mata keranjang kerana selalu menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita cantik.

Namun begitu, pelakon yang memulakan karier seni pada tahun 1982 menerusi filem Privileged itu merupakan lulusan Universiti Oxford dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris serta aktif dalam beberapa jenis sukan seperti ragbi, kriket dan bola sepak.

Menariknya, dia juga pernah mendapat tawaran untuk melakukan kajian dalam pengkhususan sejarah seni dari Universiti London yang melayakkannya mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD), tetapi terpaksa menolaknya kerana gagal mendapat geran penyelidikan.
7. David Duchovny

Drama bersiri lakonan David Duchovny yang paling diingati ramai sudah tentu The X-Files sekitar tahun 90-an dahulu bersama gandingannya, Gillian Anderson.

Menceritakan tentang tahap pendidikannya, pelakon kelahiran New York, Amerika Syarikat itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris dari Universiti Princeton kemudian menyambung pengajian dalam bidang yang sama di Universiti Yale.

Selepas itu, David melakukan tesis dengan memilih tajuk Magic And Technology In Contemporary Poetry And Prose di universiti berkenaan, namun dia tidak dapat meneruskannya dan gagal mendapat PhD.
Kosmo!

No comments:

Post a Comment