Showing posts with label Arak. Show all posts
Showing posts with label Arak. Show all posts

Thursday, September 26, 2013

Mengapa Arak Di Haramkan Di Dunia Tetapi Di Halalkan Di Akhirat?



Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, memuliakan manusia dengan semulia-mulianya, melebihkannya daripada sekalian ciptaan yang lain, mempermudahkan kepada mereka segala benda di bumi dan di langit (taskhir) dan menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi.
Al-`Izz bin Abd al-Salam berkata:
“Ketahuilah sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mensyariatkan satu hukumpun melainkan untuk maslahah dunia, maslahah akhirat atau untuk maslahah dunia dan maslahah akhirat sekaligus sebagai limpahan kurniaan-Nya kepada manusia. Bukanlah termasuk dalam tanda-tanda limpahan, rahmat, hikmat dan kemudahan daripada Allah, jika dibebankan manusia dengan kesukaran yang tidak mempunyai faedah dunia dan akhirat”. ( Syajarah al-Ma’arif Wa al-Ahwal, hal. 401)
Syariat dibina di atas prinsip menjaga lima kepentingan dharuri iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta. Imam al-Ghazzali berkata: Ada lima maksud Syariat terhadap para makhluk iaitu menjaga agama mereka, nyawa mereka, akal mereka, keturunan mereka dan harta mereka. Oleh itu setiap perkara yang mengandungi penjagaan terhadap lima asas ini dikatakan maslahah dan setiap menghilang lima asas ini disebut sebagai mafsadah dan menghindarinya adalah maslahah. (Al-Mustasfa, jil 1 hal. 289)
Merujuk kepada arak dan pergaulan bebas, tidak dinafikan bahawa sememangnya manusia mahu hidup dalam kenikmatan dan keseronokan. Bagi seorang mukmin, alam dunia dan alam syurga amat jauh perbezaannya. Sifat hidup di dunia adalah terbatas, terikat dengan hukum syarak, penuh dengan ujian. Kenikmatan yang dikecapi tidak diperolehi dengan senang tetapi memerlukan pengorbanan dan perjuangan.
Arak diharamkan kerana ‘illah atau sifat yang ada padanya iaitu memabukkan. Sifat memabukkan ini relevan dengan penjagaan akal. Mengambil arak bererti menutup kewarasan akal untuk berfikir sehingga diri sendiri dan masyarakat terdedah kepada bahaya dan mudarat. Objektif pengharaman arak dilihat kepada kesan daripada arak yang membawa kepada kemudaratan. Pengambilan arak akan menjejaskan kesihatan terutamanya kerosakan hati. Selain itu, arak menyebabkan ketagihan sehingga peminumnya sanggup membelanjakan jumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya. Di sini berlaku pemborosan dan pembaziran sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.
Arak yang ada di akhirat lain pula sifatnya yakni tiada sifat memabukkan. Oleh kerana sifatnya yang berbeza di dua alam itu, maka dibenarkan arak di syurga sebagai suatu nikmat bukan minuman yang menyakitkan.
Sementara zina pula, persetubuhan yang tidak berdasarkan kepada aqad perkahwinan yang sah tetapi semata-mata memenuhi hawa nafsu. Ia merosakkan akhlak, meruntuhkan maruah (keperibadian) dan sistem kekeluargaan. Ia menjejaskan kesihatan manusia dan mendedahkannya dengan pelbagai penyakit. Keturunan menjadi celaru sehingga tiada diketahui siapa ayahnya yang sebenar sehingga anak mengalami gangguan emosi dan psikologi.
Oleh sebab itu, Islam mensyraiatkan perkahwinan supaya seseorang itu ada jalan untuk memenuhi tuntutan seksualnya dengan cara yang halal, selamat, suci, beradab dan terhormat. Mencari keseronokan di luar perkahwinan akan menafikan nilai-nilai ketamadunan dan peradaban. Perkahwinan lebih bersifat membina sistem kekeluargaan seterusnya membentuk masyarakat yang sejahtera.
Bidadari di syurga umpama isteri yang menjadi milik mutlak penghuni, tidak berkongsi dengan sesiapa, tiada yang pernah menjeling kepadanya. Hanya menanti kedatangan orang mukmin. Dia tidak melahirkan anak, tidak mengalami haidh dan segala macam yang dialami oleh manusia. Kenikmatan bersamanya tidak mengakibatkan sebarang risiko. Hal ini berbeza sama sekali dengan pergaulan bebas.
Ringkas kata, pengambilan arak dan pergaulan bebas hanya membawa kepada porak peranda, kekacauan dalam kehidupan manusia baik pada tingkat indivdu mahupun masyarakat.
Sewajarnya, manusia itu mengetahui bahawasanya dia diikat dengan hukum supaya mengetahui bahawa ada kehidupan satu lagi yang lebih utama, lebih kekal (Surah al-Dhuha, Surah al-A’la). Jikalau dunia ini berjalan tanpa ada peraturan dan undang-undang bahkan yang ada undang-undang rimba, kelangsungan hanya untuk orang yang kuat maka hancur dan musnah kebahagiaan manusia.
Di syurga tiada lagi keterikatan dengan hukum kerana, perjalanan hidup di sana atas sifat sejahtera tidak memudaratkan, aman dan penuh kenikmatan.
Allah s.w.t. berfirman:
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا فَأُولَئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ شَيْئًا (60) جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدَ الرَّحْمَنُ عِبَادَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّهُ كَانَ وَعْدُهُ مَأْتِيًّا (61) لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا إِلَّا سَلَامًا وَلَهُمْ رِزْقُهُمْ فِيهَا بُكْرَةً وَعَشِيًّا (62) تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا (63)
Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun, – (Iaitu) syurga ” ‘Adn ” yang telah dijanjikan oleh (Allah) Ar-Rahman kepada hamba-hamba-Nya disebabkan kepercayaan mereka akan perkara-perkara yang ghaib; Sesungguhnya Tuhan itu, janjinya tetap berlaku. Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-baik; dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya, pagi dan petang (sepanjang masa). Itulah taman syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba kami. (Surah Maryam: 60-63)
Kesimpulannya, sebagai seorang muslim, terutamanya yang sering interaksi dengan masyarakat sewajarnya dia mengetahui matlamat pensyariatan hukum atau falsafah di sebalik perintah dan larangan serta hikmat syariah supaya dakwahnya itu lebih berkesan dan menyakinkan.
Sumber: http://www.darulkautsar.net/
sumber: myibrah.com

Hukum Memakai Jenama Arak Di Pakaian



Soalan: Dengan hormatnya sukacita dipohonkan fatwa berhubung dengan perkataan ‘Carlsberg’ pada pakaian, untuk kegunaan dan rujukan Unit Kawalan Akidah dan Syara’iah, Jabatan Hal Ehwal Syara’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Jawapan: Dalam dunia perniagaan berbagai-bagai cara dibuat untuk melaku atau melariskan sesuatu barangan atau jenama itu. Di sinilah peranan iklan dengan segala macam caranya. Salah satunya ialah dengan menulis nama barang di atas baju, dengan tujuan supaya barang itu dikenali, diminati lalu pengguna akan tertarik dan membelinya.
Dalam dunia perniagaan berbagai-bagai cara dibuat untuk melaku atau melariskan sesuatu barangan atau jenama itu. Di sinilah peranan iklan dengan segala macam caranya. Salah satunya ialah dengan menulis nama barang di atas baju, dengan tujuan supaya barang itu dikenali, diminati lalu pengguna akan tertarik dan membelinya.
Carlsberg ialah jenama bagi sejenis minuman keras atau sejenis arak. Khamr atau arak itu adalahharam. Perkara ini telah jelas dan maklum kepada umat Islam.
Pengharaman arak bukan sahaja kepada yang meminumnya, bahkan meliputi segala yang berkaitan dengan pemerosesannya, membawa kepada orang yang menghidangkannya dan lain-Iainnya. Semua orang yang berurusan bagi tujuan-tujuan berkaitan dengan arak .akan mendapat laknat Allah dan RasulNya, sebagaimana perkara ini disebut oleh Rasulullah Shallallhu ‘alaihi wasallam:
عن شبيب سمعت أنس بن مالك أو حدثنى أنس قال لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم فى الخمر عشرة عاصرها ومعتصرها والمعصورة له وحاملها والمحمولة له وبائعها والمبيوعة له وساقيها والمستقاة له حتى عد عشرة من هذا الضرب.
Maksudnya:
“Daripada Syabib, saya mendengar Anas bin Malik (atau: Anas meriwayatkan kepadaku),dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat perihal arak kepada sepuluh orang; orang yang memerahnya, orang yang menyuruh memerahnya, orang yang meminta dibuatkan arak, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakan arak, orang yang menjualnya, orang yang meminta dibelikan arak, orang yang memberi minum arak. orang yang minta diminumkan arak, sehingga Baginda menghitung . sepuluh daripada jumlah ini, (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Hukum Memakai Jenama Arak Di Pakaian

Apabila perkataan Carlsberg itu dilabel atau digambar di atas baju, maka tiada lain tujuannya ialah untuk mempromosi, melaris atau mengiklankan Carlsberg itu supaya ianya diminati dan akhirnya akan dibeli. Ini sudah tentu akan menguntungkan syarikat pengeluarnya.
Maka sesiapa jua yang memakai baju yang ada padanya Carlsberg itu sarna ada disedari atau tidak, telah menolong untuk memperkenal, mempromosi dan melariskan jualan Carlsberg.
Oleh sebab Carlsberg itu sejenis arak, maka memakai baju yang ada padanya nama jenama ini adalah termasuk dalam tegahan umum oleh Allah:
ولا تعاونوا على الأثم والعدون
Tafsirnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. ”
(Surah Al-Maidah: 2)
Tidak syak lagi mempamerkan Carlsberg itu tidak sunyi daripada tujuan mempromosi dan memperkenalkan minuman itu supaya ianya lebih dikenali dan diminati sehingga akhimya membawa lebih laris dan lebih laku minuman arak itu. Jika pemakainya ada tujuan sedemikian, maka si pemakai itu telah menolong pada yang haram. Atau jika dia tiada bertujuan yang demikian itu, namun apa jua caranya, sekurang-kurangnya secara tidak langsung dia masih sahaja boleh dianggap menolong perkara-perkara haram seperti yang disebutkan di atas.
Oleh hal yang demikian, bagi mengelakkan orang-orang Islam daripada memakai baju yang ada padanya jenama Carlsberg itu yang boleh menjerumuskan mereka kepada haram, maka adalah menjadi kewajipan kerajaan Islam untuk tidak membenarkan pengedaran atau menarik balik pengedaran mana-mana baju yang mengandungi jenama arak seperti Carlsberg atau yang seumpamanya.
Fatawa Issuing Body : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.
Author/Scholar : Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan
Date Of Issue : 1998