Showing posts with label PAKISTAN. Show all posts
Showing posts with label PAKISTAN. Show all posts

Thursday, September 26, 2013

Gempa bumi di Pakistan wujudkan sebuah pulau baru

Sebuah pulau kecil muncul berhampiran Pelabuhan Gwadar di Laut Arab selepas gempa bumi melanda Awaran, Baluchistan, kelmarin. - Foto AFP

Quetta: Pasukan mencari dan menyelamat Pakistan bertungkus-lumus menyelamatkan ribuan penduduk yang cedera dan kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka ranap dalam gempa bumi kuat, di barat laut negara itu ketika angka kematian meningkat kepada 327 orang, kata pihak berkuasa.

Gempa dengan magnitud 7.7 menggegarkan daerah terpencil Awaran di wilayah Baluchistan, tengah hari kelmarin.. Ia dirasai sejauh New Delhi, ibu kota India yang terletak 1,200 kilometer, namun tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan di sana.

Seorang pegawai wilayah, Setiausaha Dalam Negeri Tambahan Baluchistan, Zahid Maqsood meletakkan angka kematian kepada 210 orang dan 375 cedera, sementara seorang jurucakap kerajaan wilayah, Jan Mohammad Bulaidi, meletakkan angka kematian kepada 216 orang.


Pada masa sama pihak berkuasa Pakistan menyiasat sama ada gempa bumi kuat mewujudkan sebuah pulau baru di luar pantai selatan negara itu.

Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Pakistan, Arif Mahmood, berkata saksi melaporkan sebuah pulau kecil muncul berhampiran Pelabuhan Gwadar di Laut Arab dan boleh dilihat dari pantai.

“Gempa mungkin menyebabkan bumi di bawah laut naik, namun pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu,” katanya.

Penduduk ketakutan

Bandar di Pakistan seperti Karachi di sepanjang Laut Arab dan Quetta, ibu kota wilayah Baluchistan, menyaksikan penduduk yang ketakutan berlari ke jalan raya dan berdoa untuk keselamatan mereka.

Tentera Pakistan berkata, mereka menghantar anggota dan helikopter ke Awaran dan kawasan berhampiran di Khuzdar.

Pihak berkuasa tempatan turut menghantar doktor, makanan dan 1,000 khemah untuk mangsa ketika gempa susulan kuat terus menggegarkan rantau itu. Kebanyakan mangsa terbunuh dihempap runtuhan rumah.
AP

BH

Saturday, September 14, 2013

Romeo Pakistan perdaya wanita kena cekup

Seorang lelaki warga Pakistan ditahan imigresen kerana menggunakan taktik berkahwin wanita tempatan untuk mendapatkan pas lawatan sosial jangka panjang namun tidak menjaga kebajikan isterinya.

Seremban: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan anggota Jabatan Imigresen selepas didapati mengahwini wanita tempatan semata-mata untuk mendapat pas lawatan sosial jangka panjang.

Lelaki itu ditahan ketika ingin memperbaharui pas berkenaan dan siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun itu meninggalkan isterinya yang berusia 21 tahun selepas mendapat pas itu. Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman, berkata lelaki itu mengahwini isterinya, Januari lalu dan sejak itu tidak pernah menjenguk isterinya.


Hilangkan diri lepas kahwin

Katanya, warga Pakistan yang dipercayai peniaga itu memperalatkan isterinya untuk mendapatkan pas itu yang membolehkannya tinggal di negara ini melebihi enam bulan.

“Bagaimanapun, nama dia dimasukkan dalam senarai warga asing dikehendaki selepas pegawai jabatan yang membuat pemeriksaan susulan di rumah isterinya di sini, mendapati dia sudah lama menghilangkan diri selepas berkahwin.

“Apabila dia datang untuk memperbaharui pas, pada jam 1.30 tengah hari kelmarin, kami segera menahannya. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dia boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, manakala pas lawatannya boleh dibatalkan dan diusir pulang ke negara asal.

Faizal berkata, kes seumpama itu keempat tahun ini dan pihaknya ingin menasihat wanita tempatan supaya tidak mudah mempercayai warga asing bagi mengelakkan kes sama berulang.

“Wanita tempatan perlu berhati-hati dengan sesetengah warga asing yang tidak mencintai mereka, tetapi berkahwin kerana mempunyai muslihat, iaitu untuk tinggal lebih lama di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihat wanita tempatan yang berdepan masalah sama membuat laporan supaya tindakan boleh diambil sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

BH