MEMANG menarik apabila menceritakan detik perkenalan membabitkan pelakon Tasha Shilla dengan Mahali Jasuli yang terkenal sebagai pemain bola sepak kebangsaan.
Semuanya bermula dengan luahan Mahali yang menyatakan dirinya sebagai peminat tegar Tasha, sehinggalah pertemuan kedua-duanya dalam satu majlis hari jadi pelakon itu yang diaturkan oleh peminat pada bulan April lalu.
Sejak itu, hubungan kedua-duanya dilihat semakin erat apabila masing-masing berbalas pesanan di laman sosial Twitter, malah sudah beberapa kali Tasha dilihat berada di stadium ketika perlawanan yang membabitkan pasukan bola sepak Malaysia.
Melihat kepada kemesraan yang wujud antara dua orang figura yang menjadi pujaan dalam lapangan kerjaya masing-masing, timbul persoalan tentang sejauh mana hubungan mereka sekarang ini.
Apatah lagi, pemilik nama sebenar Natashasheila Abd. Razak pernah membuat kenyataan bahawa Mahali merupakan lelaki yang paling rapat dan mereka dalam proses mengenali hati budi sebelum ini.
Berkesempatan bertemu dengan pelakon tersebut dalam majlis pertunjukan fesyen Oriental Rhapsody di The Weld, Kuala Lumpur pada Selasa lalu, Tasha hanya tersenyum apabila diajukan pertanyaan tentang hubungannya itu.
"Setakat ini kami masih lagi berkawan seperti biasa, cuma sekarang agak jarang bertemu kerana komitmen masing-masing. Lagipun sekarang ini tawaran lakonan yang diterima agak banyak.
"Berkenaan dengan hubungan pula, saya dan
Mahali tidak lebih daripada sekadar teman biasa. Tentang jodoh pula, saya hanya berserah kepada Allah," jelasnya.
Tegas Shila, dia menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan mereka bercinta dan tidak mahu hubungan rapat yang terjalin menimbulkan salah faham peminat.
Selain itu, pelakon berkenaan turut meluahkan kekecewaan kerana dikatakan sebagai punca kemerosotan prestasi Mahali dalam beberapa aksinya di padang.
"Kadang-kadang agak hairan pula apabila ada yang mengaitkan prestasi Mahali merosot berpunca daripada saya. Sudah tentu ia suatu perkara yang agak mustahil dan melucukan.
"Kalau hendak tahu tentang punca yang berlaku, rasanya lebih baik tanya sahaja terus dengan jurulatih Datuk K. Rajagobal kerana beliau yang lebih tahu tentang situasi sebenar," jelasnya.
Mengakui bahawa tiadanya sebarang hubungan cinta yang terjalin, namun sebagai seorang teman,
Tasha tetap menyatakan sepenuh sokongannya agar kerjaya Mahali semakin berkembang dan prestasinya kembali memuncak.
"Saya tidak kisah kalau orang hendak memperkatakan tentang hubungan saya dengan Mahali tetapi apabila dikaitkan dengan dengan cerita yang negatif sebegini, ia memang sesuatu yang agak mengecewakan," luanya.
|
Terkejut
Pada minggu lalu, peminat bola sepak Malaysia dikejutkan dengan berita tentang dua pemain bola sepak yang telah ditangkap khalwat di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.
Menariknya, ada pula segelintir pihak yang telah mengaitkan bahawa salah seorang pemain tersebut merupakan Mahali yang telah ditangkap bersama Tasha.
"Sudah tentu saya berasa sangat terkejut apabila ada rakan-rakan yang bertanya mengenainya tetapi ia tidak benar kerana yang ditangkap adalah pemain pasukan Pahang, sedangkan Mahali pula bermain untuk Selangor.
"Jadi, saya meminta supaya mereka yang telah mengaitkan kami supaya selidik terlebih dahulu dan tidak elok sekiranya membuat tuduhan melulu dan mereka-reka cerita yang tidak benar," tegasnya.
Menyatakan dirinya tidak mahu ambil pusing tentang dakwaan yang dibuat, namun Tasha mengakui perkara yang timbul itu sesuatu yang memalukan dirinya apabila namanya tiba-tiba dikaitkan.
"Saya tidak tertekan sangat tentang perkara ini kerana sudah nyata saya memang tidak bersalah. Yang lebih penting, ahli keluarga tahu yang saya di pihak yang benar," tegasnya.
|
Solo
Setelah menyatakan tentang status hubungannya dengan Mahali sekadar teman biasa, Tasha turut ditebak dengan persoalan tentang jejaka yang bertakhta di hatinya sekarang ini.
Jelasnya, sehingga kini dia masih lagi solo dan belum berjumpa dengan mana-mana lelaki yang sesuai untuk dijadikan sebagai teman hidup.
"Selain berkawan rapat dengan Mahali, saya juga mempunyai ramai lagi rakan-rakan lelaki. Cuma, kesibukan sebagai seorang pelakon membuatkan saya tidak terlalu fokus sangat tentang mencari teman istimewa.
"Bagaimanapun, saya akui dalam berkawan itu ada beberapa lelaki yang saya cuba mengenali dengan lebih rapat. Kalau boleh, saya kenal lebih rapat dahulu sebelum mengambil keputusan untuk hubungan yang serius," ujarnya.
Biarpun pernah membuat kenyataan yang dia sudah sedia bergelar seorang isteri, Tasha memberitahu, pada usianya sekarang yang sudah mencecah 26 tahun, persediaan untuk ke alam rumah tangga perlu ada.
"Dengan usia yang semakin meningkat pastinya menuju ke alam perkahwinan merupakan salah satu impian tetapi saya perlu berhati-hati membuat pilihan yang terbaik untuk mencari teman hidup," ungkapnya.
No comments:
Post a Comment