Luahan Hati Isteri Dibelasah Suami Dalam Lif | Wanita berusia 36 tahun itu yang telah membuat laporan polis selepas kejadian itu Isnin lepas, berkata beliau bimbang suaminya, seorang penjawat awam, akan bertindak lebih ganas.
Mangsa, yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Mertajam, berkata
beliau bercadang mengambil tindakan mahkamah ke atas suaminya kerana
bertindak keterlaluan.
Wanita yang dipukul suami dalam sebuah lif di sebuah hospital swasta
di Bandar Perda, di Bukit Mertajam berharap pihak polis dapat mengambil
tindakan segera ke atas lelaki berkenaan.
Rakaman kamera litar tertutup yang dimuat naik dan disebarkan secara
meluas dalam Facebook dan YouTube itu menunjukkan suspek menumbuk
isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya
yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.
Insiden itu turut diperhatikan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.
Menceritakan kejadian itu semalam, katanya kejadian itu
berlaku ketika beliau bersama dua anaknya mahu pulang selepas melawat
anak sulungnya berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke wad kerana
demam panas.
“Kebetulan saya bertemu suami yang melawat anak sulung tetapi
kami tidak bertegur sapa. Ketika hendak pulang, suami turut mengikut
kami masuk ke dalam lif sambil meminta saya memujuk anak agar mengikutinya.
“Bagaimanapun, anak perempuan saya kata dia nak ikut saya dan tidak mahu mengikut ‘daddy’ menyebabkan suami marah,” katanya.
Mangsa, yang tinggal berasingan dengan suaminya berusia 36 tahun itu,
berkata suaminya bertindak menampar mukanya beberapa kali walaupun dua
anaknya melihat kejadian itu.
Beliau mendakwa suaminya sudah berkahwin dengan wanita lain pada 2011 dan bekerja di sebuah agensi kerajaan di Jerantut, Pahang.
Katanya beliau pernah meminta suaminya agar menceraikannya tetapi dia dicabar agar pergi ke pejabat agama.
“Saya minta agar dia lepaskan saya dengan cara elok tetapi dia cabar
saya supaya ke pejabat agama. Susulan itu, saya mendapatkan bantuan
peguam untuk memfailkan permohonan cerai pada awal Julai lalu. Saya
sudah tawar hati dan sebelum ini pun saya yang menyara anak kerana dia
tidak memberi nafkah sejak Disember tahun lalu,” katanya.
Adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli, 31, yang memuatkan naik video tersebut, berharap pihak polis mengambil tindakan lanjut.
Ekoran kejadian itu, polis sedang mengesan suami mangsa yang menghilangkan diri dan didapati tidak hadir di tempat kerjanya.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment