PARIT BUNTAR – Seorang kanak-kanak
lelaki berusia dua tahun maut dirempuh kereta bapanya berikutan tindakan
abangnya yang berusia empat tahun bermain-main di dalam kereta
berkenaan dalam kejadian di Taman Kerian dekat sini hari ini.
Bapa mangsa, Mohd Ali Hussin, 53,
berkata Mohd Adam, 2, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala
setelah kereta itu mengundur dan merempuh anaknya itu.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu,
Mohd Ali berkata beliau berada di dalam rumah untuk mengambil barang
selepas pulang daripada menghantar isterinya yang berniaga di Alor
Pongsu, Bagan Serai.
“Saya menyedari kejadian itu apabila
terdengar bunyi bising di luar rumah dan bergegas keluar dan mendapati
anak saya Aiman Yasin cuba menghidupkan enjin kereta,” katanya.
Katanya beliau cuba menahan anaknya itu
daripada menghidupkan enjin, namun gagal lalu mengakibatkan kereta
mengundur dan melanggar Mohd Adam yang berada di belakang kereta.
“Saya tidak menyangka kereta itu
mengundur dan percaya Aiman Yasin telah memasukkan gear mengundur secara
tidak sengaja ketika sedang bermain,” katanya.
Beliau berkata Mohd Adam cedera parah
akibat tersepit antara kereta dan dinding rumah. Mayat mangsa dibawa ke
Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian itu. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment