Tuesday, August 27, 2013

Pin It

Widgets

SEJARAH KOTA SUCI MEKAH



Makkah mula terbina pada zaman Nabi Ibrahim A.S dan puteranya Ismail A.S. Ketika Nabi Ismail A.S dan ibunya, Hajar ditinggalkan di situ, Mekah hanyalah sebuah lembah yang gersang, padang pasir yang tandus dan hanya ditumbuhi pokok-pokok renek. Ia adalah sebuah kawasan yang tak berpenghuni, dan merupakan salah satu laluan kalifah-kalifah dagangan. Walaubagaimana pun, terdapat satu kabilah yang menetap di kawasan sekitarnya iaitu Kabilah 
'Amaliq.
Apabila wujudnya telaga Zamzam di Makkah, khalifah suku Jurhum yang kebetulannya melalui kawasan itu telah meminta keizinan daripada Siti Hajar untuk menetap berdekatan telaga Zamzam. Maka bermulalah sebuah penempatan kecil di bumi Makkah dengan pekerjaan utama penduduknya ialah memburu binatang.

Setelah Nabi Ismail A.S dewasa, Baginda telah dijodohkan dengan anak gadis suku Jurhum. Perkahwinan tersebut telah membawa kepada penyatuan dua keturunan yang akhirnya membolehkan keturunan suku Jurhum menjadi Raja (penguasa) kepada kabilah-kabilah tersebut dan kabilah-kabilah lain yang tinggal di sekitar mereka.

Penguasaan suku JUrhum sebagai penguasa Makkah dan penjaga Kaabah berlarutan selama dua abad. Namun begitu, setelah kematian Raja Madad ibn 'Amru, suku Jurhum mula leka dan tidak lagi berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S. Mereka bersikap angkuh dan bongkak. Mereka berkelakuan keji dengan mencetuskan pelbagai kezaliman di Makkah, menghalalkan yang haram malah melakukan kemungkaran di dalam Kaabah.

Akibat daripada sikap dan perbuatan melampau itu, penguasaan mereka di bumi Makkah berakhir setelah ditewaskan oleh suku Khuza'ah yang diketuai oleh 'Amru ibn Luhay yang datang dari Yaman. Suku Jurhum telah mengalami kekalahan teruk dalam peperangan selama tiga hari sehingga tidak ada seorang pun yang selamat melainkan mereka yang lari dari medan perang.

Sungguhpun kota Makkah bertambah maju di bawah pemerintahan suku Khuza'ah dengan penambahan jemaah yang menziarahi Ka'abah, tetapi mereka turut membawa masuk ajaran-ajaran yang sesat seperti penyembahan berhala, menenung nasib dengan anak panah dan adat-adat yang jelas bertentangan dengan ajaran Nabi Ibrahim A.S.

Penguasaan suku Khuza'ah ini berlarutan selama lebih 500 tahun sehingga tiba zaman Qusay ibn Kilab yang telah menyatukan bangsa atau kabilah Quraisy yang disegani di seluruh pelusuk semenanjung Tanah Arab.
Keadaan ini berterusan sehingga ke zaman Rasulullah S.A.W dilahirkan di mana pucuk pemerintahan dipegang oleh datuk Baginda, Abdul Mutallib. Di bawah pemerintahan beliau, bangsa Quraisy melalui zaman kemuliaan, kekuasaan dan kemegahan yang tidak pernah dikecapi oleh keturunan-keturunan sebelum ini.

Penguasaan golongan musyrikin Quraisy ke atas kota Makkah berakhir dengan pembukaan Makkah Al-Mukarramah oleh Baginda Rasulullah S.A.W pada bulan Ramadan tahun 8 Hijrah. Baginda telah memusnahkan sendiri patung-patung berhala di sekeliling Kaabah yang jumlahnya 360 buah patung dengan pedangnya dan mengarahkan sahabatnya, Umar al-Khattab R.A dan Uthman bin Affan R.A memadamkan lukisan-lukisan di dinding Kaabah. Bermula dari detik itu, Makkah Al-Mukarramah bergerak menuju zaman keemasan di bawah naungan dan rahmat Ilahi, sungguhpun tampuk pemerintahan umat Islam sering berganti.






Kegemilangan dan kemajuan ini menjadikan kota suci Makkah al-Mukarramah yang satu ketika hanya dihuni oleh kelompok kecil manusia dari suku Jurhum berkembang menjadi satu kota yang bertamadun lagi canggih dan didiami oleh lebih 600 ribu penduduk. -Wassalam-

Sumber: abdulhafizasaree.blogspot.com

No comments:

Post a Comment