KUALA LUMPUR: Seorang
penumpang yang cedera dalam kemalangan bas dekat Genting Highlands
semalam berkata pemandu bas itu telah memberhentikan basnya di tepi
jalan sebelum kemalangan seolah-olah mengesyaki sesuatu tidak kena
dengan kenderaan itu.
Nur
Maizatul Syazana Ahmad Sharuddin, 23, berkata sebelum bas terjunam ke
dalam gaung pemandunya sempat memberhentikan bas dan turun selama tiga
minit untuk melihat enjin bas sebelum naik semula dan menghidupkan
enjin.
"Pada
masa itu saya terdengar bunyi yang begitu kuat dari bahagian depan bas
tetapi pemandu itu masih meneruskan perjalanan," katanya yang duduk di
belakang pemandu bas dalam perjalanan itu.
"Masa
itulah, tiba-tiba bas tidak dapat dikawal, cuba mengelak beberapa kereta
dan bas tapi saya perasan bas ada melanggar dua tiga buah kereta
sebelum sampai di suatu selekoh, bas terus menjunam jatuh ke dalam
gaung," katanya yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh kepada
Bernama ketika ditemui di hospital itu, dekat sini, hari ini.
Nur
Maizatul yang merupakan mangsa kedua yang dibawa naik dari dalam gaung
dalam insiden itu berkata ini merupakan pengalaman pertamanya pergi dan
pulang dari Genting Highlands bersama kawan lelakinya, Mohd Razis
Ibrahim, 23, dengan menaiki bas dan menjadi detik ngeri yang tidak akan
dilupakan sampai bila-bila.
"Saya
ingat lagi masa itu keadaan sangat cemas, takut dan semua menjerit kuat.
Tetapi saya tidak faham mengapa bas boleh bawa ramai penumpang sehingga
ada yang sanggup berdiri dan duduk di pintu tangga bas," katanya sambil
menambah kawannya kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Menceritakan
pengalamannya ketika di dalam gaung itu, beliau berkata saat itu
merupakan saat yang paling menakutkan apabila melihat ramai penumpang
sudah bergelimpangan di sekitar bas itu dalam keadaan cukup menyayat
hati.
"Saya lihat satu-satu daripada mereka depan mata saya sendiri, ada yang sudah tidak bernyawa, ada yang kritikal.
"Pada
masa itu, saya meminta tolong lelaki sebelah kiri saya yang juga
terselamat untuk membantu saya bangun kerana kaki saya patah tetapi dia
pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana turut mengalami nasib yang sama
seperti saya (patah kaki)," katanya yang bekerja sebagai kerani di
sebuah syarikat swasta di Batu Caves dan menetap di Rawang bersama
keluarganya.
Sementara
itu, abang mangsa, Mohamad Nor Fazli Sahazmi Ahmad Sharuddin, 26,
berkata beliau bersama ibunya bergegas ke tempat kejadian selepas
menerima panggilan daripada ayahnya yang mengatakan adiknya terlibat
dalam kemalangan di Genting Highlands.
"Ayah
hubungi saya selepas seorang anggota bomba menelefonnya menggunakan
telefon adik dan memberitahu adik selamat tapi cederanya agak teruk.
Masa itu pukul 3.30 petang, saya tidak fikir apa terus pergi sana.
"Sejam
kemudian saya sampai di tempat kejadian, saya buntu, saya pergi ke
khemah yang menempatkan mayat-mayat, saya lihat satu persatu mayat sebab
tidak pasti keadaan adik dan tak jumpa," katanya.
Beliau
berkata kira-kira pukul 5 petang, abang iparnya menelefon beliau
memaklumkan Nur Maizatul berada di Hospital Sungai Buloh.
"Masa
itu, rasa bersyukur sangat adik selamat, cuma mengalami cedera di muka,
patah di bahagian tulang punggung, betis dan paha," katanya.
Sementara
itu, seorang mangsa warga Korea yang dirawat di Unit Kecemasan (ICU)
Hospital Sungai Buloh, Kang Byoung Kuk berusia 60 tahun tidak dapat
ditemubual kerana masih tidak sedar diri.
-Bernama-
No comments:
Post a Comment