Friday, August 20, 2010

Pin It

Widgets

Hudud cara terbaik

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak berputus asa untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri ini walaupun mendapat halangan daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pihaknya sedaya upaya melaksanakan undang-undang tersebut berdasarkan kemampuan yang ada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Apa yang mampu untuk kita laksanakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kita kan buat. Kita membatas penjualan arak, mengharamkan riba, melarang acara tari-menari di majlis-majlis keramaian, menguatkuasakan larangan menghidangkan minuman alkohol di hotel-hotel dan banyak lagi perubahan,”katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Sambutan Hari Hudud Negeri Kelantan di sini semalam.

Kelantan sebelum ini meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) pada tahun 1993 sekali gus menjadi negeri pertama yang meluluskan undang-undang yang berkaitan hudud.

Dalam pada itu Nik Abdul Aziz berkata, peningkatan gejala sosial yang melanda negara kini adalah kerana undang-undang yang digunakan tidak berjaya mencegah kemungkaran yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

Malah katanya, peningkatan gejala sosial pula kini sampai ke tahap yang sangat membimbangkan, ditambah lagi dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian di negara kita.

“Kes-kes buang bayi pula semakin membimbangkan di mana ia meningkat 154 peratus dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain,” katanya.

Nik Abdul Aziz berkata, hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat sering kali tersalah anggap tentang hukuman tersebut.

No comments:

Post a Comment